KONSEP POLITIK
Perkataan ‘politik’ berasal daripada tradisi Greek manakala perkataan ‘Islam’ berasal daripada perkataan Arab.
Perkataan ‘politik’ berasal daripada perkataan politikus bermaksud berkaitan dengan negara, polities bermaksud warganegara atau negara, polis pula bermaksud kota atau negara dan politeiea bermaksud hak warganegara.
Manakala perkataan ‘Islam’ berasal daripada kata dasar iaitu salima yang membawa maksud taat dan patuh, aman dan damai serta terlepas atau jauh daripada kekurangan zahir dan batin.
Oleh itu dapat disimpulkan politik Islam ialah pentadbiran negara yang selamat, aman serta bahagia.
Sering kali apabila berbincang mengenai politik sentiasa dikaitkan dengan sistem pentadbiran dan juga sistem pemerintahan negara.
Pemerintahan dan pentadbiran pada zaman Rasulullah dikenali sebagai sistem Syura manakala politik di Malaysia dikenali sebagai sistem demokrasi. Kedua-dua sistem ini mempunyai tujuan dan matlamat serta elemen-elemen kepimpinan yang sama namun berbeza dari segi cara pemerintahan dan juga sistem perundangan.
Walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi namun ciri-ciri pemerintahan dan pentadbiran Islam masih menjadi tunjang utama negara.
KONSEP SYURA PADA ZAMAN RASULULLAH
Syura berasal daripada perkataan arab iaitu ‘syawara’ yang membawa maksud ‘al-tashawur’ atau perbincangan.
Menurut Ibn Manzur, Syura merupakan sebuah Majlis Perundingan dan penggunaanya adalah untuk menguji atau mencuba serta menganalisa sesuatu perkara untuk mengetahui hal keadaan yang sebenar dan betul
(Ibn Manzur t.thn: 436).
Menurut ‘Abd Rahman al-Duriy, syura ialah menilai dan menganalisa pendapat orang yang berpengalaman dalam bidang tertentu bagi tujuan untuk mencari kebenaran dan kebaikan.
(Muhammad Tawfiq al-Syawiy 1992: 81).
Menurut Prof Dr Nurcholish Majdid, perkataan syura disebut juga sebagai musyawarah yang membawa maksud "segala sesuatu yang dapat diambil atau dikeluarkan dari yang lain (termasuk pendapat) untuk memperoleh kebaikan. Beliau menegaskan bahawa keputusan yang dibuat melalui syura adalah perkara yang baik dan berguna serta memberi manfaat bagi kepentingan kehidupan manusia (Muhammad Iqbal 2001: 184-187).
Syura merupakan suatu budaya pengamalan dalam sistem pemerintahan Islam kerana bagi mereka perundingan adalah suatu keperluan dalam menyelesaikan masalah atau pertikaian yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, mereka perlu kembali kepada prinsip dan nilai-nilai Islam dan sunnah Rasul terutama apabila mereka tidak dapat membuat keputusan terhadap permasalahan tersebut
(Omardin Ashaari 2008: 11).
SISTEM DEMOKRASI DI MALAYSIA
Menurut Mahmud al-Khalidi demokrasi adalah ideologi kapitalisme dan manusia yang menggubal sistem tersebut. Rakyat adalah sumber kekuasaan dan manakala pemerintah adalah sebagai kontrak sosial dengan rakyat
(Mahmud al-Khalidi, 2001).
Menurut Wan Abdul Rahma Wan Ab. Latif sistem demokrasi adalah sistem moden yang secara asasnya berteraskan aspek persaingan dan perwakilan. Perwakilan sinonim dengan nasihat, perundingan dan permuafakatan. Erti kata lain sistem demokrasi beraspekkan perwakilan adalah "sistem pilihan raya yang membenarkan calon-calon bertanding di atas tiket parti politik yang berbeza sebagai satu kaedah mewakili rakyat dalam kawasan tertentu"
(Mohd Izani Mohd Zain 2007: 44)
Jika dilihat sistem pemerintahan dan pentadbiran di Malaysia, sistem demokrasi diguna pakai lepas berlakunya penjajahan British di Tanah Air.
Sebelumnya kedatangan British, sistem kesultanan telah digunapakai yang mana rakyat perlu taat dan patuh kepada sultan namun selepas berlakunya perubahan sistem pentadbiran, demokrasi telah digunapakai bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat memilih pemerintah sesebuah negara melalui sistem pilihan raya.
Walaupun ianya berbeza dengan sistem pemerintahan Rasulullah namun aspek-aspek utama sebagai negara Islam masih digunapakai dalam pemerintahan dan pentadbiran di Malaysia.
Walaupun negara Malaysia tidak mengamalkan sistem syura atau musyawarah, namun elemen-elemen utama pembentukan negara Islam wujud dalam perlembagaan negara seperti Islam sebagai agama persekutuan, hal ehwal agama Islam dijaga dan dipelihara serta jaminan terhadap kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam.
Kepelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia menjadikan sistem pemerintahan dan pentadbiran di Malaysia bersifat dinamik yang bersesuaian dengan kehidupan dan cara hidup masyrakat di Malaysia.
RUJUKAN
Muhammad Iqbal. 2001. Fiqh Siyasah Kontekstulisasi Doktrin Politik Islam. Jakarta: Penerbit Gaya Media Pratama.
Omardin Ashaari. 2008. Sistem Politik Dalam Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Ramli Awang. 2012. Islam: Pemikiran Kenegaraan dan Pemerintahan. Johor Bahru: UTM Press.
Mahmud al-Khalidi. 2001. Demokrasi Musuh Syariat Islam. Mesir: Universiti al-Azhar.
Mohd Izani Mohd Zain. 2007. Islam, Demokrasi dan Pilihan Raya di Malaysia. Dlm. Wan Abdul Rahman Wan Ab.Latif (pnyt.). Demokrasi dan Dunia Islam Perspektif Teori dan Praktik, hlm. 43-56. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Jamaluddin Muhammad ibn Mukarram. t.thn. Lisan al-Arab. Jld 4. Beirut: Maktabah al-Fasoliyyah.
Muhammad Tawfiq al-Syawiy. 1992. Fiqh al-Syura Wa al-Istisyarah. Al-Mansurah: Dar al-Wafa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan